15.2.12

Kenapa Harus Begini? (Bahagian 2)


Penyelesaian Masalah
            Dalam mimpi, aku bermimpi aku sedang berlari. Di hadapanku ada batu, api dan air. Pelik, aku terus berlari tanpa menghiraukan halangan di hadapan. Maka, aku melalui ketiga-tiga halangan tanpa susah dan sukar. Merempuh ketiga-tiga halangan dengan kekuatan jiwa, maka ketiga-tiga haangan itu langsung tidak memberi mudarat, apatah lagi manfaat kepadaku.
            Aku bersyukur. Terbangun diriku. Bosan. Mereka terus membebel di belakang dan hadapanku.
            Aku bangun, membulatkan semangat. Kukumpulkan kekuatan. Aku mara ke hadapan, lalu tanganku angkat. Aku menampar ketiga-tiga rakan akrab tiga serangkai itu dengan sekuat hati. Mereka tergamam, berhenti membebel.
            Muka mereka merah, menarik nafas panjang-panjang. Kemudian, mereka terus membuka mulut dan teruslah membebel. “Ya Allah, berikanku kekuatan!,” Aku terus mengangkat tangan dan memberi tamparan sekali lagi. Kena tepat di bibir dan pipi. Maka, kali ini mereka bertindak balas. Telefon di sisi ingin merakamkan bunyi, kesan tamparan dan menelefon Si Pencacai yang berat sebelah. Maka, tak tunggu masa, aku terus angkat kaki, tidak menghiraukan rakan akrab ini. Bukan takut, tetapi tidak berani. Tidak berani bukan kepada kekuasaan siapa-siapa, tetapi takut andai tak laksanakan amanah dengan baik. Menghabiskan masa bersama rakan akrab ini yang tertutup pintu hati atas kehendak Allah taala ini menyebabkan masa, ruang, tenaga dan kewanganku membazir. Sekurang-kurangnya dua tamparan yang telah kulepaskan tadi menjadi bukti amar makruf nahi munkar di hadapan Allah taala. Lantak merekalah!

 
            Kini, di hadapanku hanyalah Si Tirani yang nampak bengis. Buat permulaan takut dan gementar juga hatiku. Namun, kugagahkan jiwa dan ragaku untuk berhadapan dengannya, itulah matlamat perjuanganku selama ini. Aku mengerutkan wajah, mengepalkan tangan dan mengerahkan fikiran untuk mencari posisi badan yang paling ampuh untuk menakutkan Si Tirani. Tak lupa juga niat asalku kerana Allah semata, bacaan ayat Kursi mohon syaitan-syaitan yang ada di sisinya lemah atau mampus dan doa pengharapan penuh tawakal agar usahaku berhasil. Demi agama semata-mata kemudian rakyat dan diri. Agak lama kuberhadapan dengannya. Tidak bergerak, tiada balasan. Kadang-kadang kegusaran lahir dari hatiku andai dia akan menerjang dan terus membuas. Saat berganti detik. Minit berganti masa. Jam berganti waktu. Namun, dunia masih berganti dunia.
Buntu
            Pening fikirkan kaedah mengalahkannya. Sekurang-kurangnya memalingkan wajahnya daripada terus angkuh memandang dan merendahkan diriku mewakili rakyat dan pemuda malah mahasiswa ini. “Ya Allah, berikanlah aku kekuatan!”
            Maka teringatlah diriku akan mimpi tadi. Segar diingatan. Cuba mencari kata kunci. Lari! Itulah dia resepinya! Maka, ku angkat kakiku. Lari sedikit daripada wajahnya. Nah, aku nampak sesuatu yang mengejutkan. Malah amat menyakitkan hati. Untuk kepastian, aku bangun dan terus berlari dari wajahnya. Itu dia kelemahannya. Aku tertawa sendirian.
            Aku terus pulang ke rumah. Hajat mahu terus tidur untuk mengurangkan tekanan yang ada. Malah, ingin menghilangkan pula kepenatan dan tawa di hati. Menghabiskan masa! Itulah pandanganku kini.
            Itulah rupa sebenar Si Tirani. Dia bercakap berdasarkan kehendak rakyat. Rakyat membebel, dia membebel. Rakyat takut, dia juga takut. Rakyat kuat, dia juga kuat. Rakyat sokong, dia mula naik. Rakyat pancung, dia mula panik. Itulah dia Si Tirani. “Seseorang” berdasarkan impian rakyat. Rakyat mahukan hiburan, dia bagi hiburan. Rakyat mahukan wanita, dia bagi Wanita Pertamanya. Rakyat mahukan ternakan, dia bagi ternakan, walau pun khalayan untuk beli kondo. Rakyat mahukan duit, dia bagi semula duit rakyat kepada rakyat. Rakyat mahukan kemudahan, dia bagi semua yang rakyat ada kemudian memuhasabahkan rakyat bahawa itu semua rezeki pemberiannya dan bukanlah pemberian-Nya. Sungguh melampau Si Tirani. Rupanya Si Tirani hanyalah sebuah CERMIN! Dia adalah berdasarkan apa yang rakyat hendakkan. Dia bukanlah seekor jin teko, tetapi mungkin jin cermin. Sama maksud dengan isi Surah an-Nas – “dari kejahatan (bisikan) syaitan yang bersembunyi yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia dari (golongan) jin dan manusia”. Itulah dia Si Tirani! Syaitan yang bertopengkan manusia!
            Aku mahu balik rumah untuk tidur kerana aku tahu dia takkan ke mana-mana. Berhadapan dengannya ibarat berhadapan dengan sesuatu yang tidak berakal dan bernyawa. Mungkin juga refleksi bagi kelemahan dan kedangkalan rakyat yang lemah.
            Misiku masih lagi berbaki. Si Pencacai! Manakah dia Si Pencacai itu. Dalam perjalanan  pula, di kejauhan, nampak seorang gadis yang ramah bicara. Rakyat yang ketandusan jiwa merayu-rayu di sisinya. Ada yang seakan cuba memeluk kakinya yang gebu itu, ada yang ingin mendakapnya dan ada yang ingin menyentuh rambutnya. Kesemua unsur maksiat  itu beliau tangani dengan rengekan, sentuhan manja, dan kenyitan mata yang berbisa. Semua yang ada di situ terpegun dan ada yang tertinggung melihatkan keghairahan si gadis itu. Seksi! Takku hirau, terus berlalu kerana ada lagi tugasan yang perlu kuselesaikan walau pun beliau menyebabkan jantungku berdebar.
            “Abang, itu dia kekasih hati saya,” memekik si gadis itu kepadaku. Terkesima. Terpegun. “Bila masa ada roh lain yang meresapi diriku?,” lalu dia berlari-lari manja ke arahku. Memegang lengan tangan kananku menyebabkan diriku selesa, dan semestinya berada di awan-awanan. Maka, seluruh rakyat pun datang kepadaku seraya berkata “Dia ini hak milik kami!,”. Aku tercabar lalu berkata “Beliau datang menyantuniku, maka dia hak milik akulah!,”. Tegas, kerna bulan sudah jatuh ke riba. Ketika itu juga, terbayang-bayang dalam benak hatiku rumah tangga yang bakal kami bina. Akan kubimbing si gadis ini menjadi seumpama wali muslimat, walau pun diriku tidak setara mana. Lalu tanpa banyak bicara, seluruh rakyat mengkerumi aku lalu membelasah diriku tanpa belas kasihan. “Di mana dan ke mana kekasih hati yang baru ku kenali itu?”.
            Bengkak seluruh tubuhku. Aduh, saya badanku. Darah dan kepatahan menghiasi segenap tubuhku. Bisa. Namun, mana kekasihku?
            Di atas puncak bukit kecil itu, kulihat beliau tersenyum dan ketawa. Seumpama pengorbananku itu dibalas dengan motivasi gelak beliau itu. Seluruh rakyat mengerumi bukit tempat beliau berada itu. Tonjolkan keghairahan dan kekuasaan badannya itu\ menyebabkan hatiku mula sekali lagi terpaut pada kecantikannya itu. Namun, iman lemahku berkata, “Aku mesti hadapi dia ini – bukan lagi beliau – kerana mungkin dialah pengacau rakyat,”. Lalu kugenggam tanah berpasir, kubacakan tiga kali ayat Kursi. Dia nampak rimas, dan gerak geri beliau seumpama resah. Tidakku kisah akan kakiku yang patah, hidungku yang tersumbat dan kepalaku yang retak. Kugagahi membaca surah pilihan. Itulah dia penyelesaiannya!
Penyelesaian
Aku mengambil posisi cantik, lalu kutarik tanganku ke belakang. Mengambil jarak untuk menambahkan kelajuan. Maka, sudah bersedia, “Ambik kau!” Jeritku disusuli terjahan gumpalan tanah berpasir tepat kepada si gadis itu. Menggelumparlah si gadis itu kepanasan. Seluruh rakyat sekadar memerhatikannya walau pun ada seorang dua yang cuba membantunya. Aku terus mengengsot ke arahnya. Mujurlah ada beberapa orang Anak Muda Merdeka yang sudi membantu mengangkatku ke bahu mereka untuk menuju kea rah gadis itu. Kami semua terlopong. Tersingkaplah segala khazanah si gadis itu. Itu dia! Besar, menawan dan…. menggelikan.
Masih ada khalayak rakyat yang menangis melihatkan keadaannya. Tidakku hirau, biarlah mereka dengan perasaan mereka. Baru puas hati aku.
Wajahnya kehitaman, matanya besar, begitu juga bibirnya. Tersingkap tanduk besar di dahinya. Badan besar dan menggerutu. Itulah dia si gadis itu. Lalu kuminta Anak Muda Merdeka itu rapatkan diriku kepadanya. Nazak! Kuajarkannya mengucap. Dia tidak mampu. Lalu kutanya siapakah dia. Lalu dijawabnya, dialah Si Pencacai. Sepantas kilat ucapan syahadah itu digantikan dengan hayunan penampar. Mungkin tamparan itu sungguh kuat sehinggakan Si Pencacai itu terus meninggal di situ dengan lidah yang terjelir.
Seluruh rakyat lantas berkata, “Kenapa harus begini?,”. Aku berkata “Kerana itu ketentuan Allah s.w.t.,”. Lalu kubangun berjalan kegirangan walau pun masih terasa sakitnya kesan belasahan rakyat itu. Misiku sudah selesai. Alhamdulillah.

Tamat.

No comments:

Post a Comment