15.2.12

Kenapa Harus Begini? (Bahagian 1)


Rintihan Sanubari
            “Kenapa harus begini, ya Tuhanku,” rintih diriku dalam kegelapan malam. Rembulan purnama pula seakan memayungi malam yang sangat panjang ini.
            Dua minggu yang lalu menyaksikan seluruh haluan hidupku bertukar arah. Kebangkitan pertama golongan pemuda yang berani itu sangat mengesankan penjarah masyarakat. Sekurang-kurangnya mereka mampu bangun dari mimpi di siang hari bahawa tidak semua rakyat akan terpesona dengan ungkapan bibir mereka yang dahagakan darah dan tangisan rakyat itu.
            Keberadaanku di pondok sepi ini serasa berada di dalam penjara. Pemikiranku ditindas, jiwaku ditekan, perasaanku digumpal dan jasadku seumpama dibekukan dalam suatu sistem yang sangat menyeksakan. Aku, selaku seorang pemuda yang berfikiran bebas, tidak mahu mengalah, tidak pula mahu dikongkong oleh Si Petualang yang berkepentingan.

 
            Kini aku sendiri menangisi, masa depanku yang kelam. Fikiranku yang gundah gulana dan handai taulan yang menyingkir dalam kehidupan seharian, seumpama asing berada di bumi sendiri. Mungkin inilah takdir hidupku selaku manusia yang berpendirian. Di saat agama dan hak peribadi menjadi jualan, maruah diriku berkata tidak untuk tunduk kepada kezaliman.
            Menung. Diam membisu.
            “Ya Allah, mungkin ada pengajarannya. Atau pun mungkin ada pengalamannya. Ya Tuhanku, berikanku kekuatan dalam menghadapi hari-hari yang mendatang ini,”. Rintihku dalam doa yang panjang dan tidak menentu. Bagaikan menandingi suara malam yang riang itu.
            Tawa tangis sudah kuhadapi seharian. Kebosanan. Keliru dalam persoalan diri yang tiada kesudahkan. Jiwa yang perlukan perhatian. Belaian seisi dunia. Namun, segala harapan itu sekadar menekan sanubariku.
            Rintihan yang berpanjangan ini hanya berakhir dalam dengkuran yang menyeksakan.Peristiwa dua minggu lalu tercatat dalam lipatan sejarah hidupku sebagai suatu peristiwa penting dalam episod perjuangan menegakkan hak di muka bumi yang tercinta ini.
            Setelah lama hakku dinafikan, bahkan seluruh kebenaran dikawal di balik bayangan tirani yang menggunakan kuasa untuk mencorakkan dunia ini. Itulah dia Si Tirani. Tegar.  Hukum nafsu syaitan menjadi rujukan. Hukum Tuhan sekadar siulan. Tuhan baginya sembahan di kamar tidur. Tidak pun, paling tinggi nilai Tuhan baginya ialah seumpama azan yang tidak ketahuan. Jiwa yang mengalunkan suara tidak sama dengan falsafah laungan azan itu sendiri. Itulah nilai agama bagi Si Tirani itu. Hafalan, bebelan, syarahan dan kemudian teori, berfalsafah dan entah ke mana. Agama baginya tempat bersenda gurau, angkuh dalam mencari kehidupan selain daripada kehendak Tuhan yang Maha Esa.
Mula Bangkit!
            Perencanaan Allah yang Maha Esa, paginya aku menggagahkan kudratku untuk bangkit menunaikan kewajipan Solat subuh secara keseorangan. Penat. Perasaan tenat itu cuba kuketepikan. Payah. Namun, kuyakin dengan janji Allah taala terhadap para pejuang agamanya. Kupasakkan diri di tikar sejadah untuk membina semula kekuatan maruah dan urat nadiku. Memohon pertolongan daripada Tuhan yang satu.
            Seusai solat yang penuh keasyikan itu, diriku seumpama diresap semangat baru. Semangat yang sangat berbeza daripada waktu-waktu dahulu.  Kusujud syukur pada Tuhanku. Kerna kemampuan ini hanyalah diberikan-Nya kepada orang yang dipilih. Aku berbulat tekad bahawa aku mesti berhadapan dengan Si Tirani itu untuk meluahkan rasa, mempertahankan hak aku, walau pun dunia menyebelahinya.
            Sebetulnya, untukku berhadapan dengan Si Tirani yang bersiung itu sangatlah sukar. Beliau memiliki ramai hamba yang merdeka, ramai merdeka yang hamba. Berhadapannya untuk berbual dan bertanya khabar, mudah sahaja. Sebaliknya untuk melawan perasaan bangganya itu, sukarku jangka.
            Entahlah. Hak mesti ditegakkan. Diriku haruslah membuktikan diriku bukanlah seumpama lembu dicucuk hidung, dilacurkan jiwa dan raganya demi kepentingan Si Tirani itu, dan juga Si Petualang, sahabat akrabnya itu.
            Si Petualang dan Si Tirani sama sahaja bagiku. Yang bezanya nama, jasad dan tauliah yang ada pada mereka. Si Petualang diijazahkan dengan sijil agama semenjak dari buaian. Manakala Si Tirani seorang yang bermazhab Barat namun berwajah hitam manis. Dari sudut bebelan, sama banyak, sama padan. Namun bezanya Si Tirani itu mempunyai kuasa manakala Si Petualang itu mempunyai bibir yang menggoda.
            Aku nekad. Aku berbulat pasrah. Tak kisah apa yang berlaku. Hak adalah hak. Aku ada maruah. Apa nak takut!
Mula Bertindak!
            Kusarungkan baju kemeja bertali leher. Berselipar capal Rasulullah s.a.w. Aku gagahi diri menuju ke arah Surau yang berdekatan untuk solat hajat mohon kekuatan. Masjid tempatku pula berkunci, natijah anak muda sekitar yang baik budi membantu Qariah Masjid menyimpan duit wakaf untuk membeli ganja. Manakala Si Imam yang ada berilmu tinggi dan bertugas rutin untuk membaca Yassin tahlil dan doa buka majlis hiburan Si Tirani. Bahkan Si Lebai yang malang pula tersenyum riang melihat anak daranya laku diusung orang. Itulah realiti perjalananku ke Surau yang penuh harapan itu. Tiangnya tinggi menongkat langit.
            Sesudah munajatku itu, kudengar bunyi hiruk pikuk keramaian. Di sebelah Surau yang mulia itu rakyat mula membanjiri. Kulihat tiga serangkai rakan akrab di bawah sibuk membebel mengiklan serta mengampu siding kepimpinan Si Tirani. Mereka adalah Juak 1, Juak 2 dan Juak 3. Juak 1 suka membebel. Juak 2 suka mengampu. Juak 3 suka membisu. Ketiga-tiga orang yang berbeza, namun mewarisi gen sikap yang sama iaitu TIPU.
            Kuintai melalui celahan dinding yang rongak, kulihat ramai rakyat yang datang. Kutak tahu dari mana datangnya, mereka datang menunduk dan dipapah. Cepat, sungguh pantas mereka berhimpun. Walau pun perhimpunan itu haram hukumnya pada mazhab Si Petualang dan mungkin juga Imam itu. Hadir pada tika itu ialah Si Tirani, Si Petualang, Anak Muda Sengal, Imam, Si Lebai, Juak 1, Juak 2, dan Juak 3 dan rakyat yang menikus. Kuperhati untuk menyusun strategi. Aku tekad, turun tetap turun. Relaku berhadapan dengan sidang kepimpinan Tirani itu.
            Sesampainya aku di dalam khalayak rakyat itu, aku menjerit, “Usah nak TIPUlah,”. Seluruh khalayak rakyat dan sidang kepimpinan Si Tirani berhenti mengampu. Senyap dan diam. Khalayak rakyat berundur, memberikanku ruang untuk lalu menuju kepada sidang kepimpinan Si Tirani di atas pentas yang tinggi. Langkah demi langkah kususun.
            Bergementarlah seluruh sidang kepimpinan Si Tirani itu. Maka kukatakan kepada semua khalayak rakyat, “Berundurlah kalian, balik rumah,” sebelum perkataanku habis, kawasan tersebut lengang. Hanya ada beberapa kerat rakyat yang ingin menilai berada di sana. Mereka cerdik. Maka, bangunlah Si Petualang mempertahankan Si Tirani dengan doa-doa keramatnya. Kuhadapi dengan senyuman kerana senyuman itu sunnah Nabi saw. Dia tewas! Maka datanglah pula anak Anak Muda Sengal.Kuberikan mereka baucer wang untuk ditunaikan di akhirat nanti. Mereka bertaubat, lalu beransur pergi. Mudah. Kemudian, datanglah Imam dan Si Lebai memdepangkan tangan mempertahankan Si Tirani. Lalu, kuhalakan mereka soalan tentang isu tauliah, elaun dan jubah, maka mereka berdebat sesama sendiri mempertahankan perasaan dan pandangan masing-masing. Selesailah mereka berdua.
            Hinggalah, cabaran paling hebat kuberhadapan dengan rakan akrab tiga serangkai itu. Bebelan dan ampuan mereka tanpa menghiraukan musibah yang berlaku kepada saudara-saudara mereka tadi. Aku berdada dengan mereka, tanpa menghiraukan segala bala bencana yang bakal menimpa. Agak sukar. Segala dakwahku kepada mereka dibalas dakyah semula. Segala nas al-Qur’an dan hadith yang thabit dari Nabi s.a.w. kuberikan, namun mereka tetap dengan bebelan merapu mereka. Seumpama telinga dan hati mereka disumbat sesuatu. Terkunci! Seakan segala fakta agama bagi mereka mampu dikalahkan dengan auta yang lahir dari bibir mereka itu. Aneh! Ada juga orang semacam itu.
            Pertarungan yang rasakan berlangsung mungkin sesaat cuma, namun sebenarnya berlanjutan hingga ke dinihari. Rakyat yang mahu menilai tadi tidak ketahuan mula beransur pergi. Bosan dan kelaparan dari raut wajah mereka amat menggusarkan sanubariku. Mereka kelaparan zahir dan batin. Kasihan mereka! Aku terpaksa habiskan misi aku ini. Rakan akrab tiga serangkai terus asyik dengan ragam mereka sendiri. Aku terasa kebuntuan. Asyik memikirkan kaedah membenamkan mereka ke dalam kekalahan. Buntu. Habis ayat Kursi kubaca. Begitu juga Surah al-Baqarah. Mereka terus tegar membebel dalam isu yang tidak pernah berpijak di alam realiti kini. Apa yang keluar dari bibir mereka adalah fatwa hati dan hala tuju akhirat mereka.
“Ya Allah, berikanku kekuatan menghadapi mereka!,” sempatku berdoa seusai solat hajat dan istikarah selepas Isyak ini. Di belakang dan di hadapanku ini, mereka terus membebel. Aku ingin lelapkan mata sekejap.

bersambung.

No comments:

Post a Comment